Sabtu, 2 Mei 2020

PKP - Ramadhan #9

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Apa khabar? Mel harap semua baik-baik sahaja hendaknya. Alhamdulillah, Mel diuji dengan demam dua hari ini, dan sekarang beransur pulih.

Dalam tak sedar, kita sudah hampir ke penghujung Ramadhan fasa pertama. Bagaimana Ramadhan kawan-kawan? Semoga kita berjaya melakukan perkara yang bermakna, insyaallah.

Baiklah, hari ini Mel nak kongsikan pandangan Mel tentang situasi semasa yang berlaku di negara kita. Alhamdulillah, negara sedang menunjukkan kesan-kesan positif dalam memerangi wabak COVID-19.

Memasuki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan, beberapa kelonggaran diumumkan oleh kerajaan demi kelangsungan hidup rakyat. Semestinya, dengan beberapa peraturan yang dikenakan supaya penularan wabak ini tidak kembali mencanak naik.

Mel yakin, pihak kerajaan sudah menimbang beberapa kemungkinan yang akan berlaku apabila kelonggaran ini diberikan. Oleh itu, bukankah kita selaku rakyat perlu mematuhi syarat-syarat yang dikenakan? Kawan-kawan rasa, bagaimana?

Mel lihat, ada beberapa suara yang kurang bersetuju dengan tindakan kerajaan ini. Ya, Mel faham kebimbangan mereka, namun kita juga harus memahami apa tugas kita dalam usaha membasmi virus ini. Kata kunci mudah, 'duduk rumah'. Kerajaan juga menggariskan beberapa panduan jika mahu juga keluar seperti amalan 3W; Wash, Wear, Warn.

Sebagai contoh, jika mahu membeli barangan, kita boleh saja keluar berdua - seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini - dengan syarat jaga jarak sosial dan sentiasa bersedia dengan cecair pembasmi kuman. Jika seorang sahaja yang perlu keluar, tidak perlu berdua.

Mungkin kekangan adalah pada ibubapa yang perlu bekerja sedangkan mereka mempunyai anak yang perlu dijaga. Mel ada juga terbaca hal ini. Pendapat Mel, ia memerlukan budi bicara oleh pihak majikan untuk membuat giliran bekerja.

Jika perkara ini dapat kita lakukan dengan baik, barulah #kitajagakita dan boleh #stopcovid19.

Mel kaitkan perkara ini dengan ayat 13 surah Asy-Syura;

"Allah telah menerangkan kepada kamu (di antara perkara-perkara agama yang Dia telah tetapkan hukumnya) apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami (Allah) perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: 'Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah-belah atau berselisihan pada dasarnya.' Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat)."

Terima kasih kerana sudi membaca! Semoga jumpa lagi, kawan-kawan!