Isnin, 24 Ogos 2020

Ada Ulat di Hujung Ayat

 Assalamualaikum, selamat datang ke ruangan Mel!

Apa khabar semua? Mel harap semua baik-baik saja. Dalam tempoh PKPP ini, sila jaga dan patuhi sebaik mungkin prosedur yang kerajaan gariskan, ya. Ia penting demi membendung gejala wabak COVID-19 ini daripada menjadi lebih teruk lagi.

Baik, hari ini Mel dan bercerita tentang ulat. Tapi bukan ulat yang hidup melata dalam tanah tu, ulat ini gelaran bagi simbol [ ~ ]. Kalau baca al-Quran, simbol ini bermaksud kadar panjang bacaan empat hingga enam harakat.

Tapi, Mel bukan nak cerita simbol ini dalam al-Quran, tapi simbol ini berkaitan Dzu. Ingat lagi Dzu, sahabat baik Mel? Dia pernah tulis dalam blog Mel ni, tajuk "Tentang Kita". Siapa yang belum baca, kena baca dulu, sebab ia ada kaitan dengan pengisian Mel kali ini.

Bagi yang sudah baca, mesti perasan di setiap akhir ayat Dzu akan ada simbol ~ ni. Mel pasti, mesti ada yang tertanya-tanya apa maksud simbol ni? Kenapa kena ada dalam setiap ayat? Hahaha... Mel juga macam kawan-kawan juga.

Sepanjang mengenali Dzu, Mel dibawa ke dalam dunia yang lebih luas, lebih imaginatif, lebih kreatif dan di luar kotak. Walaupun bukan seorang ahli psikiatri, Dzu sangat memahami dan mendalami hal-hal kejiwaan manusia. Mel sama macam Dzu, tapi pengetahuan dia lebih lagi.

Akal kurniaan Tuhan ini sangat unik. Dengan menggunakan akal, kita boleh berfikir sejauh mungkin walaupun benda itu tidak logik. Setuju?

Jadi, dunia ini tidak terikat dengan apa yang ada dalam pandangan mata kasar sahaja, tetapi termasuk juga yang tidak dapat dilihat.

Berbalik kepada simbol ~ ini, ia sebenarnya separa infiniti. Mel rasa, semua orang pernah tengok simbol infiniti, bukan? Simbol ini separa kerana... Tuhan adalah di luar jangkauan manusia termasuklah akal yang boleh membayangkan macam-macam tu.

Ini membawa maksud, infiniti dalam pemahaman kita pun sebenarnya ada had. Had ini cuma boleh dibuktikan bila kita menghadapi hari segalanya dibicarakan dihadapan Raja segala raja.

Sebenarnya, ini telahan Mel saja tentang 'ulat' Dzu. Maksud sebenar, dia saja yang tahu. Dzu tak nak cerita dekat Mel ke~

Sabtu, 8 Ogos 2020

Tentang Kita # Dzu & Mel

Sepertimana perihal salji akan sentiasa mengingatkan Mel kepada Dzu..begitu juga perihal hujan akan sentiasa mengingatkan Dzu kepada Mel~~


***


Jika ditanya bagaimana ia bermula..jawapan ringkas yang akan Dzu berikan..melalui kafe buku~


& bagaimana pula kami mula bertukar-tukar cerita? 


Sama-sama ambil gambar sewaktu acara,bertukar contact number,panjangkan ukhwah di media sosial (Whatsapp, Telegram, FB & IG) & saling komen perkongsian di ‘story’.Dari situ wujud ‘chemistry’ yang buat kami sangat selesa berdiskusi, melontarkan pandangan & idea.Ya, begitulah secara ringkasnya~


Dzu masih ingat, pertama kali berjumpa untuk perkongsian secara bersemuka, Dzu tak rasa kekok.Mel ikut Dzu ke mana aja.Dia sangat fokus mendengar cerita & perkongsian Dzu berjam lamanya.Mel selalu cakap, “I’m all ears” & dia buktikannya~


& sejak bermulanya PKP, boleh dikatakan tiap-tiap hari kami mesej & call.Bahkan kami berhubung melalui pelbagai cara..whatsapp,whatsapp video call,zoom,telegram~


Dzu masih ingat pesan kaunselor Dzu,


“Awak, kalau berkawan dengan sesiapa, jangan over exited sangat bercerita hal-hal yang complex & complicated (mudah cakap, hal-hal yang ‘berat’)..nanti lari orang tu” 

- Puan Ana.


Tapi Mel,dia betul-betul berbeza..agak ‘rare’ Dzu kira & itu betul-betul buat Dzu teruja..sangat teruja~ 


& setiap kali Dzu berterima kasih & menyuarakan betapa bersyukurnya Dzu dipertemukan dengan Mel..Mel akan cakap takde apa yang dia bantu.Bukan mudah untuk Dzu jumpa seseorang seteguh itu.Terus bertahan & menyokong tanpa jemu~


Dzu betul-betul tak nak kehilangan Mel sebagai seorang sahabat.Dzu akan cuba jaga persahabatan ni sebaiknya.Apa yang akan terjadi seterusnya Dzu serahkan segalanya pada DIA (The Creator)~


Isnin, 20 Julai 2020

Shhh...

Errr... hai. Shhh... perlahan sikit. Dzu ni, curi-curi tulis dalam blog Mel.

Tempoh hari, kami keluar sama, pergi pelancaran kedai buku baru dekat PJ. Dah lama tak keluar dengan Mel, teruja betul.

The Bibliophile BookStore nama kedai tu. Pemiliknya, Kiridaren, dah lama pasang niat nak ada kedai buku sendiri, sekarang baru tercapai.

Tahniah, Kiri!

Macam mana Dzu boleh muncul dekat sini? Sebenarnya, masa keluar dengan Mel tu, Dzu cakap nak tulis dalam blog juga. Mel beria betul. Tapi Dzu cakap, belum sedia lagi.

Shhh... ni rahsia kita, ya. Jangan bagitahu Mel. Okay lah, Dzu pergi dulu.

Ingat, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut~

Jumaat, 5 Jun 2020

MARI KITA MENANGIS BERSAMA

Assalamualaikum, apa khabar semua?

Saat hantaran ini ditulis, hujan sedang mencurah ke bumi. Mel pernah bagitahu tak, hujan adalah antara perkara yang Mel suka, selain kopi dan dark chocolate?

Hujan turun selalunya mengingatkan Mel kepada memori-memori indah. Menulis dan berpuisi bersama Dzu, terutamanya.

Kadangkala, mengingati perkara-perkara sebegini, air mata tanpa sedar turut mengalir bersama titisan hujan. Ajaib sungguh, padahal kita selalu menangis bila berlaku sesuatu yang tidak baik.

Bila kali terakhir kawan-kawan menangis? Semalam? Hari ini? Atau, ada yang menangis sekarang?

Menangislah. Ia bukti bahawa kita mempunyai perasaan paling tinggi sebagai seorang manusia. HAMKA pernah menulis, kepandaian seorang perempuan adalah menangis.

Mel setuju dengan pernyataan itu, sebab menangis menunjukkan kehalusan hati dan perasaan seseorang. Bila perasaan sudah tidak terbendung lagi, tangisan adalah ubat paling mujarab untuk meredakan.

Pernah dengar tak, ahli psikologi ada mengelaskan, seseorang yang tidak mampu menangis petanda ada sesuatu melemah dalam dirinya?

Mel pernah alami hal macam ini. Tiba-tiba tak boleh menangis untuk tempoh masa lebih sebulan. Alhamdulillah, sekarang sudah boleh menangis, seperti selalu. hehe...

Kawan-kawan, penting sebenarnya untuk kita menangis, tak kira lelaki atau perempuan. Tangisan adalah isyarat dan bahasa paling tinggi menggambarkan perasaan seseorang. Tak percaya?

Cuba kita lihat pada pasangan suami isteri yang menyambut kelahiran pertama, siapa yang menangis? Tidak pelik jika bayi menangis kerana itu lumrah, namun ibu bapanya turut menangis, bukan? Adakah tangisan itu bersifat sedih? Tidak, bukan?

Nah, itulah ajaibnya sebuah tangisan. Bila sedih, menangis. Bila gembira, menangis. Bila marah, juga menangis. Akibat cinta, rindu dan cemburu, menangis adalah pilihan utama.

Jadi, marilah kita menangis bersama. Habiskan, kerana setiap tangisan akan menghadirkan ketenangan sekaligus kekuatan untuk bangkit semula memberi yang lebih baik lagi.

Aduh... Mel nak kaitkan tangisan dan cinta sebenarnya. Tidak apalah, nanti kita sambung lagi. daa...

Khamis, 4 Jun 2020

KEMBALI

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Apa khabar, kawan-kawan? Maaf, rasanya terlalu lama Mel tinggalkan ruangan ini.

Hari ini, sudah masuk hari ke... berapa, ya? Mel terlupa membilang hari, sepanjang tempoh PKPB ini. Sudah berapa peringkat kita tidak beraktiviti seperti biasa?

Mel suka menulis, sayangnya makin lama ada sesuatu yang mengganggu. Mungkin, terlalu lama tidak keluar rumah seperti biasa, dan asyik dengan media sosial, Mel jadi begini.

Istilah yang Mel jumpa menggambarkan perasaan ketika ini; the dip. Sebuah perasaan di mana seseorang penulis itu sudah mula rasa bosan dengan penulisannya sendiri.

Ah, perasan sungguh. Mel bukannya seorang penulis, tapi awal-awal PKP memang banyak menulis di Facebook. Carilah kalau nak tahu Mel tulis apa. Kata kunci, Dzu.

Tidak dinafikan, ada ketika, seseorang penulis akan mengalami isu ini. The dip ataupun writer's block, dua istilah berbeza namun konotasinya membawa maksud yang lebih kurang sama. Ada beberapa cara yang penulis cari sendiri untuk mengatasi perkara ini.

Ada yang membaca semula penulisan mereka sebelum ini, membaca penulisan orang lain, tonton video-video berkaitan, ataupun bermain permainan maya. Sedikit sebanyak, aktiviti yang membawa mereka lari seketika daripada jiwa penulis, ibarat waktu rehat masa belajar di sekolah.

Perkara ini amat penting, memandangkan pergerakan kita amat terhad. Untung saja, sekarang kerajaan sudah melonggarkan sedikit, bolehlah kita keluar joging atau berbasikal di kawasan sekitar.

Apapun, jaga kesihatan dan ikut prosedur jika keluar ke tempat tumpuan orang ramai sepanjang tempoh PKPB ya, kawan-kawan. Semoga wabak ini berakhir dengan baik, dan kita juga menjadi insan yang baik pula.

Semoga bertemu kembali! Terima kasih sudi baca apa yang Mel tulis!

Sabtu, 2 Mei 2020

PKP - Ramadhan #9

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Apa khabar? Mel harap semua baik-baik sahaja hendaknya. Alhamdulillah, Mel diuji dengan demam dua hari ini, dan sekarang beransur pulih.

Dalam tak sedar, kita sudah hampir ke penghujung Ramadhan fasa pertama. Bagaimana Ramadhan kawan-kawan? Semoga kita berjaya melakukan perkara yang bermakna, insyaallah.

Baiklah, hari ini Mel nak kongsikan pandangan Mel tentang situasi semasa yang berlaku di negara kita. Alhamdulillah, negara sedang menunjukkan kesan-kesan positif dalam memerangi wabak COVID-19.

Memasuki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan, beberapa kelonggaran diumumkan oleh kerajaan demi kelangsungan hidup rakyat. Semestinya, dengan beberapa peraturan yang dikenakan supaya penularan wabak ini tidak kembali mencanak naik.

Mel yakin, pihak kerajaan sudah menimbang beberapa kemungkinan yang akan berlaku apabila kelonggaran ini diberikan. Oleh itu, bukankah kita selaku rakyat perlu mematuhi syarat-syarat yang dikenakan? Kawan-kawan rasa, bagaimana?

Mel lihat, ada beberapa suara yang kurang bersetuju dengan tindakan kerajaan ini. Ya, Mel faham kebimbangan mereka, namun kita juga harus memahami apa tugas kita dalam usaha membasmi virus ini. Kata kunci mudah, 'duduk rumah'. Kerajaan juga menggariskan beberapa panduan jika mahu juga keluar seperti amalan 3W; Wash, Wear, Warn.

Sebagai contoh, jika mahu membeli barangan, kita boleh saja keluar berdua - seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini - dengan syarat jaga jarak sosial dan sentiasa bersedia dengan cecair pembasmi kuman. Jika seorang sahaja yang perlu keluar, tidak perlu berdua.

Mungkin kekangan adalah pada ibubapa yang perlu bekerja sedangkan mereka mempunyai anak yang perlu dijaga. Mel ada juga terbaca hal ini. Pendapat Mel, ia memerlukan budi bicara oleh pihak majikan untuk membuat giliran bekerja.

Jika perkara ini dapat kita lakukan dengan baik, barulah #kitajagakita dan boleh #stopcovid19.

Mel kaitkan perkara ini dengan ayat 13 surah Asy-Syura;

"Allah telah menerangkan kepada kamu (di antara perkara-perkara agama yang Dia telah tetapkan hukumnya) apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami (Allah) perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: 'Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah-belah atau berselisihan pada dasarnya.' Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat)."

Terima kasih kerana sudi membaca! Semoga jumpa lagi, kawan-kawan!

Selasa, 28 April 2020

PKP - Ramadhan #5

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Apa khabar? Mel harap semua orang baik-baik sahaja sepanjang menjalani ibadah Ramadhan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Dua ini.

Apa pun, Alhamdulillah kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk meraikan Ramadhan tahun ini, walaupun ia sedikit berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Sama-sama kita doakan agar kita berjaya menempuh ujian yang melanda dunia saat ini.

Baiklah, hari ini Mel ingin berkongsi tentang satu perasaan yang sangat sukar untuk kita perolehi, iaitu ikhlas. Secara mudah, ikhlas boleh kita fahami sebagai melakukan apa sahaja pekerjaan tanpa mengharapkan balasan. Makna kata, kita buat sahaja, dapat tak dapat sesuatu, belakang kira.

Ikhlas adalah sebuah perasaan tahap tinggi dalam kehidupan kita sebagai manusia. Mari kita bayangkan sama-sama, kita sayangkan sesuatu dan pada masa yang sama kita kena berkongsi dengan orang lain? Kawan-kawan rasa, macamana?

Peringkat awal, pasti kita akan rasa 'ini aku punya'. Maka kita tidak mahu berkongsi sesuatu itu dengan orang lain. Namun, lama-kelamaan kita belajar bahawa dalam hidup ini bukan ada kita seorang sahaja. Kita mula memahami kepentingan hidup bermasyarakat.

Bila kita mula belajar untuk berkongsi, datang pula ujian kedua. Bila kita sudah boleh memberi orang lain menggunakan sesuatu daripada kita, terdetik pula dalam hati 'kalau aku buat begini, nanti dia akan buat benda yang sama'. Sungguh, ia adalah perkara normal. Manusia penuh dengan emosi.

Semakin kita memberi, semakin besar harapan kita untuk menerima. Sampai satu masa, ia tidak sama seperti yang kita harapkan; kita terima benda yang tidak setimpal dengan apa yang kita beri. Masa ini, mulalah ada bisikan berbentuk penyesalan 'baik aku tak payah buat, bukan dapat apa pun'.

Seiring masa berjalan, akan terbuka pintu kefahaman bahawa segala pengharapan itu hanya pada Tuhan semata. Ketika itu, kita lebih banyak memberi tanpa memikirkan apa-apa kerana kita tahu, balasan hanyalah daripada Tuhan.

Mel ada menonton satu perkongsian tentang adab bersedekah, ustaz menerangkan antara adabnya adalah memberi tanpa mengharapkan apa jua balasan sama ada berbentuk pujian ataupun ucapan terima kasih. Malah, disunatkan bersedekah dengan harta yang paling kita cinta.

Demikianlah apa yang Mel boleh kongsikan hal ikhlas, bersandarkan pada surah al-Bayyinah, ayat 5;

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan demikian itulah agama yang benar."

Oh, teringat perkongsian orang ramai tentang respon Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah yang diiktiraf doktor terbaik dunia dalam menangani COVID-19.

Boleh lihat di sini: https://www.youtube.com/watch?v=eXtg4CPClLg

Terima kasih singgah di blog Mel! Semoga berjumpa lagi!

Isnin, 27 April 2020

PKP - Ramadhan #4

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Apa khabar? Mel harap semua orang sihat sahaja hendaknya. Hari ini sudah memasuki hari ke-13 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2, dan umat Islam seluruh dunia meraikan Ramadhan yang keempat.

Ramadhan kali ini sedikit berbeza di seluruh dunia, dimana kita menyambutnya di rumah masing-masing. Tapi tidak apa, kita boleh lebih fokus untuk beribadah secara individu ataupun bersama keluarga tersayang.

Hari ini Mel nak berkongsi tentang ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 112. Surah ini adalah surah paling panjang, terutama pada ayat yang menerangkan tentang hutang; satu ayat sahaja, tapi memakan keseluruhan mukasurat, menunjukkan betapa pentingnya hal itu.

Tetapi bukan hal itu yang Mel nak kongsi. Mel nak kongsi tentang sebuah usaha untuk mencapai yang terbaik dalam hidup, seperti yang digariskan pada ayat 112 surah ini.

Saat ini, dunia kita sangat heboh dengan satu makhluk halus/seni yang kita namakan dia sebagai COVID-19. Serangan yang bermula pada Disember 2019, kemudian mula memakan korban manusia sehingga mencecah lebih 10,000 orang.

Pelbagai reaksi dan keadaan yang kita boleh lihat di serata dunia; ada kes meningkat secara mendadak, kes kembali positif setelah disahkan bebas COVID-19, penurunan kes secara berkala dan kes-kes terkawal.

Malaysia antara negara terawal berusaha sedaya upaya, sehingga dinobatkan sebagai antara tiga doktor terbaik dunia dalam menangani wabak COVID-19 ini. Sudah semestinya, kejayaan ini bukan sahaja daripada tindakan KKM semata-mata, tetapi juga kita sebagai masyarakat yang mematuhi arahan semasa daripada kerajaan.

Usaha, jika hanya dilakukan oleh sebelah pihak, pastinya sukar untuk berjaya. Natijah daripada berita yang memberangsangkan ini - walaupun masih perlu bersikap hati-hati, kejayaan untuk memutuskan rantaian makhluk halus ini pasti dalam genggaman.

Maka, berbaloilah usaha kita selama ini!

Bagaimanapun sebagai umat manusia, tidak dapat tidak setiap perkara itu berlaku dengan izin dan ketentuan daripada Tuhan yang menciptakan segala yang ada, termasuklah virus yang membunuh ini. Bersempena dengan Ramadhan jua, sama-sama kita menadah tangan untuk memohon kekuatan menghadapi rintangan ini secara bersama, sekaligus menghapuskan virus ini.

Demikianlah apa yang Mel boleh kaitkan dengan surah al-Baqarah ayat 112;

"Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."

Terima kasih kawan-kawan sebab sudi baca! Semoga berjumpa lagi!

Ahad, 26 April 2020

Dzu Salju

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Apa khabar semua? Mel harap semua sihat sahaja hendaknya. Baiklah, hari ini Mel nak bercerita tentang kawan baik Mel, Dzu.

Dzu, nama penuhnya adalah Dzu Salju. Dzu berasal dari Pantai Timur, dan bekerja sebagai seorang guru di Petaling Jaya. Kali pertama Mel bertemu Dzu adalah pada September 2019. Kami bertemu ketika majlis perasmian pembukaan Kafe Buku Oakheart (#KABO) yang baru di Bangi.

Pengurus #KABO adalah kawan Mel dan juga penerbit zine pertama Dzu. Pada awalnya, kami tidak banyak berbicara, lebih banyak bersembang dengan Bangpis dan Eja; pengurus #KABO. Perangai Mel, bila jumpa orang baru, mesti akan ada rasa segan yang teramat, sebab itu Mel banyak mendengar sahaja.

Jadinya, kali pertama kami berjumpa itu, sekadar mengucap selamat melalui pandangan mata dan senyuman sahaja. Apa yang Mel tahu masa itu, Dzu seorang yang banyak berceloteh, dan dia suka untuk berkongsi apa sahaja yang dia rasakan bermanfaat; sungguh mengena dengan profil kerjayanya.

Sejak itu, kami rajin bertemu jika ada beberapa majlis diadakan di #KABO. Oh, pengalaman baru Mel, sempat membuat persembahan sempena PeNASKHAH pada Oktober 2019. Terima kasih Bangpis, puji suara Mel sedap dilantun semasa sedang membaca naskhah terjemahan oleh Eja; Jalan Tak Ada Hujung.

Dzu, maafkan Mel ya. Mel sebenarnya tak ingat bila kita mula menjalinkan tali persahabatan. Rasanya bulan Februari 2020. Masa itu, Dzu nak mendengar pendapat Mel tentang sesuatu. Bermula daripada situ, Mel dan Dzu mula kenal rapat.

Mel kagum sebenarnya dengan Dzu. Dzu sangat istimewa, walaupun sedikit pelik. Pelik? Mel agak terbiasa dengan benda-benda pelik, dan kaunselor Mel ubah perkataan 'pelik' tu kepada 'unik'. Jadi, Dzu sangat unik di mata Mel.

Dzu seorang kawan yang sangat bijak dan aktif, ideanya selalu diluar kotak, semangatnya pula tak pernah padam. Kadang-kadang, Mel tenggelam dalam kata-kata Dzu, tapi Mel tahu Mel boleh merasionalkan semua yang Dzu kongsikan bersama.

Bermula dari sinilah, kami semakin rapat. Dzu yang terlalu banyak idea-idea besarnya, Mel terjemahkan dalam bentuk penulisan. Eh, tiba-tiba Mel pandai menulis. Certot (cerita kontot), puisi, sampailah menyanyi. Mel dan Dzu selalu bermain kata dan nyanyi bersama.

Mel pasti, kawan-kawan pun mesti ada kan kawan rapat macam Mel dan Dzu. Mel... tak nak letak harapan apa-apa, cuma Mel selalu mendoakan kita semua sentiasa berkasih sayang, sesama insan paling tidak.

(Mel... Mel tulis apa tu? - Dzu)

Ops, jumpa lagi kawan-kawan! Terima kasih sudi baca tulisan Mel!

Selamat Datang

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog Mellyssa Menulis. Tujuan utama Mel menjana blog ini, adalah untuk cuba-cuba menulis, hasil daripada pembacaan buku-buku yang ada dalam simpanan.

Satu saja masalahnya, Mel lebih bersifat 'tsundoku' (mengumpul buku semata-mata) berbanding menjadi ulat buku. Kawan-kawan doakan, supaya Mel lebih banyak membaca sekaligus boleh menulis beberapa idea untuk perkongsian bersama.

Mel doakan kawan-kawan juga sentiasa berjaya dalam mencapai impian masing-masing!

Selamat berkenalan, dan selamat datang ke blog Mellyssa Menulis!

Dzu... tunggu Mel...

(Dzu adalah kawan baik Mel, nanti Mel cerita hal Dzu dalam hantaran yang lain ya...)