Isnin, 27 April 2020

PKP - Ramadhan #4

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Apa khabar? Mel harap semua orang sihat sahaja hendaknya. Hari ini sudah memasuki hari ke-13 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2, dan umat Islam seluruh dunia meraikan Ramadhan yang keempat.

Ramadhan kali ini sedikit berbeza di seluruh dunia, dimana kita menyambutnya di rumah masing-masing. Tapi tidak apa, kita boleh lebih fokus untuk beribadah secara individu ataupun bersama keluarga tersayang.

Hari ini Mel nak berkongsi tentang ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 112. Surah ini adalah surah paling panjang, terutama pada ayat yang menerangkan tentang hutang; satu ayat sahaja, tapi memakan keseluruhan mukasurat, menunjukkan betapa pentingnya hal itu.

Tetapi bukan hal itu yang Mel nak kongsi. Mel nak kongsi tentang sebuah usaha untuk mencapai yang terbaik dalam hidup, seperti yang digariskan pada ayat 112 surah ini.

Saat ini, dunia kita sangat heboh dengan satu makhluk halus/seni yang kita namakan dia sebagai COVID-19. Serangan yang bermula pada Disember 2019, kemudian mula memakan korban manusia sehingga mencecah lebih 10,000 orang.

Pelbagai reaksi dan keadaan yang kita boleh lihat di serata dunia; ada kes meningkat secara mendadak, kes kembali positif setelah disahkan bebas COVID-19, penurunan kes secara berkala dan kes-kes terkawal.

Malaysia antara negara terawal berusaha sedaya upaya, sehingga dinobatkan sebagai antara tiga doktor terbaik dunia dalam menangani wabak COVID-19 ini. Sudah semestinya, kejayaan ini bukan sahaja daripada tindakan KKM semata-mata, tetapi juga kita sebagai masyarakat yang mematuhi arahan semasa daripada kerajaan.

Usaha, jika hanya dilakukan oleh sebelah pihak, pastinya sukar untuk berjaya. Natijah daripada berita yang memberangsangkan ini - walaupun masih perlu bersikap hati-hati, kejayaan untuk memutuskan rantaian makhluk halus ini pasti dalam genggaman.

Maka, berbaloilah usaha kita selama ini!

Bagaimanapun sebagai umat manusia, tidak dapat tidak setiap perkara itu berlaku dengan izin dan ketentuan daripada Tuhan yang menciptakan segala yang ada, termasuklah virus yang membunuh ini. Bersempena dengan Ramadhan jua, sama-sama kita menadah tangan untuk memohon kekuatan menghadapi rintangan ini secara bersama, sekaligus menghapuskan virus ini.

Demikianlah apa yang Mel boleh kaitkan dengan surah al-Baqarah ayat 112;

"Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."

Terima kasih kawan-kawan sebab sudi baca! Semoga berjumpa lagi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan