Selasa, 28 April 2020

PKP - Ramadhan #5

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Apa khabar? Mel harap semua orang baik-baik sahaja sepanjang menjalani ibadah Ramadhan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Dua ini.

Apa pun, Alhamdulillah kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk meraikan Ramadhan tahun ini, walaupun ia sedikit berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Sama-sama kita doakan agar kita berjaya menempuh ujian yang melanda dunia saat ini.

Baiklah, hari ini Mel ingin berkongsi tentang satu perasaan yang sangat sukar untuk kita perolehi, iaitu ikhlas. Secara mudah, ikhlas boleh kita fahami sebagai melakukan apa sahaja pekerjaan tanpa mengharapkan balasan. Makna kata, kita buat sahaja, dapat tak dapat sesuatu, belakang kira.

Ikhlas adalah sebuah perasaan tahap tinggi dalam kehidupan kita sebagai manusia. Mari kita bayangkan sama-sama, kita sayangkan sesuatu dan pada masa yang sama kita kena berkongsi dengan orang lain? Kawan-kawan rasa, macamana?

Peringkat awal, pasti kita akan rasa 'ini aku punya'. Maka kita tidak mahu berkongsi sesuatu itu dengan orang lain. Namun, lama-kelamaan kita belajar bahawa dalam hidup ini bukan ada kita seorang sahaja. Kita mula memahami kepentingan hidup bermasyarakat.

Bila kita mula belajar untuk berkongsi, datang pula ujian kedua. Bila kita sudah boleh memberi orang lain menggunakan sesuatu daripada kita, terdetik pula dalam hati 'kalau aku buat begini, nanti dia akan buat benda yang sama'. Sungguh, ia adalah perkara normal. Manusia penuh dengan emosi.

Semakin kita memberi, semakin besar harapan kita untuk menerima. Sampai satu masa, ia tidak sama seperti yang kita harapkan; kita terima benda yang tidak setimpal dengan apa yang kita beri. Masa ini, mulalah ada bisikan berbentuk penyesalan 'baik aku tak payah buat, bukan dapat apa pun'.

Seiring masa berjalan, akan terbuka pintu kefahaman bahawa segala pengharapan itu hanya pada Tuhan semata. Ketika itu, kita lebih banyak memberi tanpa memikirkan apa-apa kerana kita tahu, balasan hanyalah daripada Tuhan.

Mel ada menonton satu perkongsian tentang adab bersedekah, ustaz menerangkan antara adabnya adalah memberi tanpa mengharapkan apa jua balasan sama ada berbentuk pujian ataupun ucapan terima kasih. Malah, disunatkan bersedekah dengan harta yang paling kita cinta.

Demikianlah apa yang Mel boleh kongsikan hal ikhlas, bersandarkan pada surah al-Bayyinah, ayat 5;

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan demikian itulah agama yang benar."

Oh, teringat perkongsian orang ramai tentang respon Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah yang diiktiraf doktor terbaik dunia dalam menangani COVID-19.

Boleh lihat di sini: https://www.youtube.com/watch?v=eXtg4CPClLg

Terima kasih singgah di blog Mel! Semoga berjumpa lagi!

2 ulasan:

  1. Mel, Dzu minta tinggalkan komen ni~

    Dia kata dia teringat satu kata-kata hikmah yang dia terbaca dalam satu perkongsian,"Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di malam yang amat kelam.Ianya wujud tapi amat sukar dilihat"~

    Dalam proses mendapatkan keikhlasan, kita akan diuji dengan bisikan-bisikan yang meragukan setiap tindakan & keputusan.Itu ujian hati yang kita semua pasti lalui~

    Seiring dengan bertambahnya ilmu & pengalaman,ujian-ujian hati yang kita tempuhi itu akan meningkatkan kesedaran diri & juga kesedaran berTuhan yang sukarnya digambarkan dengan kata-kata~

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih, Dzu.

      Betul tu, sebab tu ibarat yang digunakan sangat tepat. Kita tak pernah tahu mana satu yang dinamakan ikhlas.

      Mel kadang rasa tak selesa, bila ada orang tanya; 'awak ikhlas tolong saya'. Elok-elok tak ada niat apa-apa, jadi lain dah.

      Padam