Selasa, 28 April 2020

PKP - Ramadhan #5

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Apa khabar? Mel harap semua orang baik-baik sahaja sepanjang menjalani ibadah Ramadhan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Dua ini.

Apa pun, Alhamdulillah kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk meraikan Ramadhan tahun ini, walaupun ia sedikit berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Sama-sama kita doakan agar kita berjaya menempuh ujian yang melanda dunia saat ini.

Baiklah, hari ini Mel ingin berkongsi tentang satu perasaan yang sangat sukar untuk kita perolehi, iaitu ikhlas. Secara mudah, ikhlas boleh kita fahami sebagai melakukan apa sahaja pekerjaan tanpa mengharapkan balasan. Makna kata, kita buat sahaja, dapat tak dapat sesuatu, belakang kira.

Ikhlas adalah sebuah perasaan tahap tinggi dalam kehidupan kita sebagai manusia. Mari kita bayangkan sama-sama, kita sayangkan sesuatu dan pada masa yang sama kita kena berkongsi dengan orang lain? Kawan-kawan rasa, macamana?

Peringkat awal, pasti kita akan rasa 'ini aku punya'. Maka kita tidak mahu berkongsi sesuatu itu dengan orang lain. Namun, lama-kelamaan kita belajar bahawa dalam hidup ini bukan ada kita seorang sahaja. Kita mula memahami kepentingan hidup bermasyarakat.

Bila kita mula belajar untuk berkongsi, datang pula ujian kedua. Bila kita sudah boleh memberi orang lain menggunakan sesuatu daripada kita, terdetik pula dalam hati 'kalau aku buat begini, nanti dia akan buat benda yang sama'. Sungguh, ia adalah perkara normal. Manusia penuh dengan emosi.

Semakin kita memberi, semakin besar harapan kita untuk menerima. Sampai satu masa, ia tidak sama seperti yang kita harapkan; kita terima benda yang tidak setimpal dengan apa yang kita beri. Masa ini, mulalah ada bisikan berbentuk penyesalan 'baik aku tak payah buat, bukan dapat apa pun'.

Seiring masa berjalan, akan terbuka pintu kefahaman bahawa segala pengharapan itu hanya pada Tuhan semata. Ketika itu, kita lebih banyak memberi tanpa memikirkan apa-apa kerana kita tahu, balasan hanyalah daripada Tuhan.

Mel ada menonton satu perkongsian tentang adab bersedekah, ustaz menerangkan antara adabnya adalah memberi tanpa mengharapkan apa jua balasan sama ada berbentuk pujian ataupun ucapan terima kasih. Malah, disunatkan bersedekah dengan harta yang paling kita cinta.

Demikianlah apa yang Mel boleh kongsikan hal ikhlas, bersandarkan pada surah al-Bayyinah, ayat 5;

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan demikian itulah agama yang benar."

Oh, teringat perkongsian orang ramai tentang respon Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah yang diiktiraf doktor terbaik dunia dalam menangani COVID-19.

Boleh lihat di sini: https://www.youtube.com/watch?v=eXtg4CPClLg

Terima kasih singgah di blog Mel! Semoga berjumpa lagi!

Isnin, 27 April 2020

PKP - Ramadhan #4

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Apa khabar? Mel harap semua orang sihat sahaja hendaknya. Hari ini sudah memasuki hari ke-13 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2, dan umat Islam seluruh dunia meraikan Ramadhan yang keempat.

Ramadhan kali ini sedikit berbeza di seluruh dunia, dimana kita menyambutnya di rumah masing-masing. Tapi tidak apa, kita boleh lebih fokus untuk beribadah secara individu ataupun bersama keluarga tersayang.

Hari ini Mel nak berkongsi tentang ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 112. Surah ini adalah surah paling panjang, terutama pada ayat yang menerangkan tentang hutang; satu ayat sahaja, tapi memakan keseluruhan mukasurat, menunjukkan betapa pentingnya hal itu.

Tetapi bukan hal itu yang Mel nak kongsi. Mel nak kongsi tentang sebuah usaha untuk mencapai yang terbaik dalam hidup, seperti yang digariskan pada ayat 112 surah ini.

Saat ini, dunia kita sangat heboh dengan satu makhluk halus/seni yang kita namakan dia sebagai COVID-19. Serangan yang bermula pada Disember 2019, kemudian mula memakan korban manusia sehingga mencecah lebih 10,000 orang.

Pelbagai reaksi dan keadaan yang kita boleh lihat di serata dunia; ada kes meningkat secara mendadak, kes kembali positif setelah disahkan bebas COVID-19, penurunan kes secara berkala dan kes-kes terkawal.

Malaysia antara negara terawal berusaha sedaya upaya, sehingga dinobatkan sebagai antara tiga doktor terbaik dunia dalam menangani wabak COVID-19 ini. Sudah semestinya, kejayaan ini bukan sahaja daripada tindakan KKM semata-mata, tetapi juga kita sebagai masyarakat yang mematuhi arahan semasa daripada kerajaan.

Usaha, jika hanya dilakukan oleh sebelah pihak, pastinya sukar untuk berjaya. Natijah daripada berita yang memberangsangkan ini - walaupun masih perlu bersikap hati-hati, kejayaan untuk memutuskan rantaian makhluk halus ini pasti dalam genggaman.

Maka, berbaloilah usaha kita selama ini!

Bagaimanapun sebagai umat manusia, tidak dapat tidak setiap perkara itu berlaku dengan izin dan ketentuan daripada Tuhan yang menciptakan segala yang ada, termasuklah virus yang membunuh ini. Bersempena dengan Ramadhan jua, sama-sama kita menadah tangan untuk memohon kekuatan menghadapi rintangan ini secara bersama, sekaligus menghapuskan virus ini.

Demikianlah apa yang Mel boleh kaitkan dengan surah al-Baqarah ayat 112;

"Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."

Terima kasih kawan-kawan sebab sudi baca! Semoga berjumpa lagi!

Ahad, 26 April 2020

Dzu Salju

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Apa khabar semua? Mel harap semua sihat sahaja hendaknya. Baiklah, hari ini Mel nak bercerita tentang kawan baik Mel, Dzu.

Dzu, nama penuhnya adalah Dzu Salju. Dzu berasal dari Pantai Timur, dan bekerja sebagai seorang guru di Petaling Jaya. Kali pertama Mel bertemu Dzu adalah pada September 2019. Kami bertemu ketika majlis perasmian pembukaan Kafe Buku Oakheart (#KABO) yang baru di Bangi.

Pengurus #KABO adalah kawan Mel dan juga penerbit zine pertama Dzu. Pada awalnya, kami tidak banyak berbicara, lebih banyak bersembang dengan Bangpis dan Eja; pengurus #KABO. Perangai Mel, bila jumpa orang baru, mesti akan ada rasa segan yang teramat, sebab itu Mel banyak mendengar sahaja.

Jadinya, kali pertama kami berjumpa itu, sekadar mengucap selamat melalui pandangan mata dan senyuman sahaja. Apa yang Mel tahu masa itu, Dzu seorang yang banyak berceloteh, dan dia suka untuk berkongsi apa sahaja yang dia rasakan bermanfaat; sungguh mengena dengan profil kerjayanya.

Sejak itu, kami rajin bertemu jika ada beberapa majlis diadakan di #KABO. Oh, pengalaman baru Mel, sempat membuat persembahan sempena PeNASKHAH pada Oktober 2019. Terima kasih Bangpis, puji suara Mel sedap dilantun semasa sedang membaca naskhah terjemahan oleh Eja; Jalan Tak Ada Hujung.

Dzu, maafkan Mel ya. Mel sebenarnya tak ingat bila kita mula menjalinkan tali persahabatan. Rasanya bulan Februari 2020. Masa itu, Dzu nak mendengar pendapat Mel tentang sesuatu. Bermula daripada situ, Mel dan Dzu mula kenal rapat.

Mel kagum sebenarnya dengan Dzu. Dzu sangat istimewa, walaupun sedikit pelik. Pelik? Mel agak terbiasa dengan benda-benda pelik, dan kaunselor Mel ubah perkataan 'pelik' tu kepada 'unik'. Jadi, Dzu sangat unik di mata Mel.

Dzu seorang kawan yang sangat bijak dan aktif, ideanya selalu diluar kotak, semangatnya pula tak pernah padam. Kadang-kadang, Mel tenggelam dalam kata-kata Dzu, tapi Mel tahu Mel boleh merasionalkan semua yang Dzu kongsikan bersama.

Bermula dari sinilah, kami semakin rapat. Dzu yang terlalu banyak idea-idea besarnya, Mel terjemahkan dalam bentuk penulisan. Eh, tiba-tiba Mel pandai menulis. Certot (cerita kontot), puisi, sampailah menyanyi. Mel dan Dzu selalu bermain kata dan nyanyi bersama.

Mel pasti, kawan-kawan pun mesti ada kan kawan rapat macam Mel dan Dzu. Mel... tak nak letak harapan apa-apa, cuma Mel selalu mendoakan kita semua sentiasa berkasih sayang, sesama insan paling tidak.

(Mel... Mel tulis apa tu? - Dzu)

Ops, jumpa lagi kawan-kawan! Terima kasih sudi baca tulisan Mel!

Selamat Datang

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog Mellyssa Menulis. Tujuan utama Mel menjana blog ini, adalah untuk cuba-cuba menulis, hasil daripada pembacaan buku-buku yang ada dalam simpanan.

Satu saja masalahnya, Mel lebih bersifat 'tsundoku' (mengumpul buku semata-mata) berbanding menjadi ulat buku. Kawan-kawan doakan, supaya Mel lebih banyak membaca sekaligus boleh menulis beberapa idea untuk perkongsian bersama.

Mel doakan kawan-kawan juga sentiasa berjaya dalam mencapai impian masing-masing!

Selamat berkenalan, dan selamat datang ke blog Mellyssa Menulis!

Dzu... tunggu Mel...

(Dzu adalah kawan baik Mel, nanti Mel cerita hal Dzu dalam hantaran yang lain ya...)