Jumaat, 5 Jun 2020

MARI KITA MENANGIS BERSAMA

Assalamualaikum, apa khabar semua?

Saat hantaran ini ditulis, hujan sedang mencurah ke bumi. Mel pernah bagitahu tak, hujan adalah antara perkara yang Mel suka, selain kopi dan dark chocolate?

Hujan turun selalunya mengingatkan Mel kepada memori-memori indah. Menulis dan berpuisi bersama Dzu, terutamanya.

Kadangkala, mengingati perkara-perkara sebegini, air mata tanpa sedar turut mengalir bersama titisan hujan. Ajaib sungguh, padahal kita selalu menangis bila berlaku sesuatu yang tidak baik.

Bila kali terakhir kawan-kawan menangis? Semalam? Hari ini? Atau, ada yang menangis sekarang?

Menangislah. Ia bukti bahawa kita mempunyai perasaan paling tinggi sebagai seorang manusia. HAMKA pernah menulis, kepandaian seorang perempuan adalah menangis.

Mel setuju dengan pernyataan itu, sebab menangis menunjukkan kehalusan hati dan perasaan seseorang. Bila perasaan sudah tidak terbendung lagi, tangisan adalah ubat paling mujarab untuk meredakan.

Pernah dengar tak, ahli psikologi ada mengelaskan, seseorang yang tidak mampu menangis petanda ada sesuatu melemah dalam dirinya?

Mel pernah alami hal macam ini. Tiba-tiba tak boleh menangis untuk tempoh masa lebih sebulan. Alhamdulillah, sekarang sudah boleh menangis, seperti selalu. hehe...

Kawan-kawan, penting sebenarnya untuk kita menangis, tak kira lelaki atau perempuan. Tangisan adalah isyarat dan bahasa paling tinggi menggambarkan perasaan seseorang. Tak percaya?

Cuba kita lihat pada pasangan suami isteri yang menyambut kelahiran pertama, siapa yang menangis? Tidak pelik jika bayi menangis kerana itu lumrah, namun ibu bapanya turut menangis, bukan? Adakah tangisan itu bersifat sedih? Tidak, bukan?

Nah, itulah ajaibnya sebuah tangisan. Bila sedih, menangis. Bila gembira, menangis. Bila marah, juga menangis. Akibat cinta, rindu dan cemburu, menangis adalah pilihan utama.

Jadi, marilah kita menangis bersama. Habiskan, kerana setiap tangisan akan menghadirkan ketenangan sekaligus kekuatan untuk bangkit semula memberi yang lebih baik lagi.

Aduh... Mel nak kaitkan tangisan dan cinta sebenarnya. Tidak apalah, nanti kita sambung lagi. daa...

Khamis, 4 Jun 2020

KEMBALI

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Apa khabar, kawan-kawan? Maaf, rasanya terlalu lama Mel tinggalkan ruangan ini.

Hari ini, sudah masuk hari ke... berapa, ya? Mel terlupa membilang hari, sepanjang tempoh PKPB ini. Sudah berapa peringkat kita tidak beraktiviti seperti biasa?

Mel suka menulis, sayangnya makin lama ada sesuatu yang mengganggu. Mungkin, terlalu lama tidak keluar rumah seperti biasa, dan asyik dengan media sosial, Mel jadi begini.

Istilah yang Mel jumpa menggambarkan perasaan ketika ini; the dip. Sebuah perasaan di mana seseorang penulis itu sudah mula rasa bosan dengan penulisannya sendiri.

Ah, perasan sungguh. Mel bukannya seorang penulis, tapi awal-awal PKP memang banyak menulis di Facebook. Carilah kalau nak tahu Mel tulis apa. Kata kunci, Dzu.

Tidak dinafikan, ada ketika, seseorang penulis akan mengalami isu ini. The dip ataupun writer's block, dua istilah berbeza namun konotasinya membawa maksud yang lebih kurang sama. Ada beberapa cara yang penulis cari sendiri untuk mengatasi perkara ini.

Ada yang membaca semula penulisan mereka sebelum ini, membaca penulisan orang lain, tonton video-video berkaitan, ataupun bermain permainan maya. Sedikit sebanyak, aktiviti yang membawa mereka lari seketika daripada jiwa penulis, ibarat waktu rehat masa belajar di sekolah.

Perkara ini amat penting, memandangkan pergerakan kita amat terhad. Untung saja, sekarang kerajaan sudah melonggarkan sedikit, bolehlah kita keluar joging atau berbasikal di kawasan sekitar.

Apapun, jaga kesihatan dan ikut prosedur jika keluar ke tempat tumpuan orang ramai sepanjang tempoh PKPB ya, kawan-kawan. Semoga wabak ini berakhir dengan baik, dan kita juga menjadi insan yang baik pula.

Semoga bertemu kembali! Terima kasih sudi baca apa yang Mel tulis!

Sabtu, 2 Mei 2020

PKP - Ramadhan #9

Assalamualaikum, salam sejahtera semua!

Apa khabar? Mel harap semua baik-baik sahaja hendaknya. Alhamdulillah, Mel diuji dengan demam dua hari ini, dan sekarang beransur pulih.

Dalam tak sedar, kita sudah hampir ke penghujung Ramadhan fasa pertama. Bagaimana Ramadhan kawan-kawan? Semoga kita berjaya melakukan perkara yang bermakna, insyaallah.

Baiklah, hari ini Mel nak kongsikan pandangan Mel tentang situasi semasa yang berlaku di negara kita. Alhamdulillah, negara sedang menunjukkan kesan-kesan positif dalam memerangi wabak COVID-19.

Memasuki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan, beberapa kelonggaran diumumkan oleh kerajaan demi kelangsungan hidup rakyat. Semestinya, dengan beberapa peraturan yang dikenakan supaya penularan wabak ini tidak kembali mencanak naik.

Mel yakin, pihak kerajaan sudah menimbang beberapa kemungkinan yang akan berlaku apabila kelonggaran ini diberikan. Oleh itu, bukankah kita selaku rakyat perlu mematuhi syarat-syarat yang dikenakan? Kawan-kawan rasa, bagaimana?

Mel lihat, ada beberapa suara yang kurang bersetuju dengan tindakan kerajaan ini. Ya, Mel faham kebimbangan mereka, namun kita juga harus memahami apa tugas kita dalam usaha membasmi virus ini. Kata kunci mudah, 'duduk rumah'. Kerajaan juga menggariskan beberapa panduan jika mahu juga keluar seperti amalan 3W; Wash, Wear, Warn.

Sebagai contoh, jika mahu membeli barangan, kita boleh saja keluar berdua - seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini - dengan syarat jaga jarak sosial dan sentiasa bersedia dengan cecair pembasmi kuman. Jika seorang sahaja yang perlu keluar, tidak perlu berdua.

Mungkin kekangan adalah pada ibubapa yang perlu bekerja sedangkan mereka mempunyai anak yang perlu dijaga. Mel ada juga terbaca hal ini. Pendapat Mel, ia memerlukan budi bicara oleh pihak majikan untuk membuat giliran bekerja.

Jika perkara ini dapat kita lakukan dengan baik, barulah #kitajagakita dan boleh #stopcovid19.

Mel kaitkan perkara ini dengan ayat 13 surah Asy-Syura;

"Allah telah menerangkan kepada kamu (di antara perkara-perkara agama yang Dia telah tetapkan hukumnya) apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami (Allah) perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: 'Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah-belah atau berselisihan pada dasarnya.' Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat)."

Terima kasih kerana sudi membaca! Semoga jumpa lagi, kawan-kawan!